Tuesday, October 7, 2008

BERMULANYA SATU LANGKAH...

Hari raya sememangnya dapat menidakkan terputusnya nilai persaudaraan dan silaturrahim. Bagi keluarga ABH, hari raya kali ini akan cuba dijadikan satu platform untuk mengembalikan dan mengikat semula hubungan persaudaraan dengan memulakan langkah pertama pencarian asal-usul keluarga ini di Melaka.

Bagi generasi kedua dan ketiga ABH, pasti persoalan tentang salasilah keluarga mahu diselesaikan. Ayuh kita ungkap bersama salasilah ini untuk tatapan bersama!

Hari raya yang ketiga, hampir separuh daripada kalangan telah ke Melaka untuk beraya. Bermula dengan kunjungan ke rumah Pak Long Md Nor di Cheng. Di sana tidak banyak yang boleh dibicarakan tetapi agenda selepas itu lebih menarik yakni kunjungan ke Kampung Air Leleh, tempat dimana Hj Abu Bakar Ismail dilahirkan.


Kampung Air Leleh tidaklah sebesar mana dan terletak di pinggir Bandar Melaka yang bersebelahan dengan sawah yang bersambung hingga ke Semabok. Iman sendiri sudah lama tidak kesini setelah beberapa tahun terlepas untuk beraya. Singgah ke rumah Mak Cik Joyah dengan Pak Ron sudah menunggu kedatangan nenek. Masuk sebentar dan Iman keluar ke hadapan surau bertemu rakan sekuliah di UiTM dulu, Syafiq. Syafiq sahabat Iman ini juga sebenarnya adalah saudara kita. Bagaimana kaitannya nanti Iman ceritakan.

Kisah keluarga ini kita mulakan dengan cerita solat maghrib di Surau Madrasah Hj Abdullah, Air Leleh. Terletak betul-betul dihadapan rumah Mak Cik Joyah, surau ini adalah surau ‘waris’ jika mengikut gurauan Pak Lie dengan Mak. Jika mengikut salasilah dan sirahnya, ‘Hj Abdullah’ pada nama surau ini adalah arwah bapa saudara atuk yang juga imam di surau ini dulunya. Lebih dikenali dengan ‘Pak Dolah’ atau digelar ‘Pak Cik Ola’ oleh atuk.

Rumahnya Hj Abdullah terletak bersebelahan surau ini dan kini didiami oleh anak angkatnya yang tidak pasti namanya tapi digelar ‘gendul’. Maka, Hj Abdullah ini mempunyai adik beradik yang dipanggil Pak Ngah Ndin oleh arwah atuk. Ceritanya atuk rapat dengan Tok Ngah Ndin ini dan rumahnya berhadapan dengan rumah arwah nenek Long atau rumah yang Pak Su Razak duduk sekarang. Maka, kisahnya Syafiq sahabat Iman tadi adalah cucu kepada Tok Ngah Ndin. Air dicincang takkan putus dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali!

Cerita Tok Ngah Ndin ini pula dikisahkan mempunyai dua isteri. Anak-anak bersama isteri pertamanya mungkin tidak dikenali tetapi anak dengan isteri keduanya antaranya Norizan, Roslan dan Nomi dikenali oleh Iman.

Maka semasa berjumpa dengan Syafiq, dia membawa iman ke rumah anak Tok Ngah Ndin tadi yang juga pak ciknya, Hj Roslan. Maka ketika berbual diceritakan oleh Syafiq siapa diri ini maka berjabat tangan dengan penuh senyuman!

Orang Melaka memang kecoh dibuatnya dan itu berlaku bila Hj Roslan berteriak kepada keluarganya “ ini dia cucu arwah Pak Bakau adik Tok Itam”. Semua lantas pandang dan bersalaman dengan iman. Bagai sirih pulang ke gagang!

Iman pulang ke rumah Mak Cik Joyah dan selepas maghrib berbual dengan Pak Lie diluar. Bercerita tentang Hj Roslan, Iman sekali lagi ke rumahnya dan kali ini dengan Pak Lie pula. Sampai saja tersenyum lebar Hj Roslan. Berbual dengan Pak Lie dan kemudian bertukar nombor telefon, harapnya salasilah kita akan ditelusuri hari demi hari.

Tiada apa yang mahu dimalukan dalam bersaudara. Walau bagaimanapun persaudaraan itu tetap tidak akan putus walaupun diputuskan kerana hakikatnya yang diatas masih sama dan berakhir dengan satu!

Saturday, October 4, 2008

SALAM AIDILFITRI



Salam Lebaran,
Buat semua warga ABH, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Walau dimana anda berada pastikan bergembira menyambutnya. Jadikan Hari Raya ini sebagai satu platform untuk kita mengukuhkan ukhwah persaudaraan keluarga. Kepada mereka yang ada di perantauan, emailkan gambar anda berhari raya di sana kepada moderator untuk di muatkan dalam blog ini. Agar menjadi tatapan dan semangat buat generasi akan datang untuk mengikuti jejak anda.
Salam tulus ikhlas,
ABH FAMILY.

Sunday, September 28, 2008

APA DAH JADI?

Salam buat semua,

Mungkin dah lama xupdate blog ini. Bulan puasa dah masuk ke fasa akhir. Aldrin dah pulang semula ke US. Keluarga ABH masih seperti tahun-tahun sebelum, sudah mula merangka persiapan lebaran yang bakal menjelang. Rumah nenek tahun ini masih seperti biasa sentiasa terbuka untuk semua. Semoga lebaran yang bakal menjelang akan menjadi platform untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim keluarga ini.

Sunday, August 31, 2008

SALAM AL MUBARAK

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN BUAT SEMUA AHLI ABH. Semoga segala amalan kita dalam bulan yang barakah ini diterima olehnya..insyaallah.

Sunday, August 10, 2008

KENANGAN HARI KELUARGA LALU (2004-2006)

Video ini telah ditayangkan semasa hari keluarga pada tahun 2006. Setelah lama tersimpan, video ini ditayangkan semula untuk mengimbau kenangan lalu yang mencuit hati. SELAMAT MENONTON!

Sunday, August 3, 2008

MAJLIS PERTUNANGAN




Tanggal 2hb Ogos, telah berlangsung majlis pertunangan Zarieah Abu Bakar. Majlis begitu meriah dengan cuaca yang agak baik pada hari itu. Kehadiran sebahagian besar ahli keluarga menjadikan suasana lebih meriah walaupun terdapat beberapa ahli ABH yang tiada, sama ada di luar atau di dalam negara. Walaupun ketiadaan mereka namun pastinya doa dari setiap ahli ABH sentiasa memberkati mereka. Agak celaru fikiran bagi generasi ke-3 memikirkan yang mana satu bakal tunangan Mak Cam. Semuanya memegang kamera sambil mencari di mana orangnya. Malang sekali bila jawapannya tiada. Tapi di akhir2 majlis muncul juga akhirnya. Semua bersalaman dan ada juga yang tersipu malu. Pasti berdebar rasa melihat terlalu ramai askar dalam ABH. Dengar saja gelak ketawa dalam majlis macam nak terangkat Kampung Raja Uda. Begitulah adat ahli2 ABH setiap kali pertemuan. Tiada yang tak meriah. So, bagi yang bakal menyertai terpaksalah membiasakan diri.....

*lain2 gambar di bawah

Saturday, August 2, 2008

SALAM PERKENALAN


Assalamualaikum..


Dunia teknologi pada hari ini terlalu hebat sehingga muncul ABH FAMILY BLOG. Tahniah kepada semua ahli ABH FAMILY kerana idea dan cadangan bagi mewujudkan blog ini. Objektif utama bagi menerbitkan blog ini adalah untuk mengekal dan merapatkan lagi silaturrahim sesama ahli ABH dan juga memudahkan penyampaian informasi terbaru mengenai aktiviti keluarga. Harapan dengan lahirnya blog ini dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kita walaupun terdapat mereka yang berada jauh di luar negara. Semoga hubungan kekeluargaan yang tercipta ini dapat kekal selamanya..


sekian..