Bagi generasi kedua dan ketiga ABH, pasti persoalan tentang salasilah keluarga mahu diselesaikan. Ayuh kita ungkap bersama salasilah ini untuk tatapan bersama!
Hari raya yang ketiga, hampir separuh daripada kalangan telah ke Melaka untuk beraya. Bermula dengan kunjungan ke rumah Pak Long Md Nor di Cheng. Di sana tidak banyak yang boleh dibicarakan tetapi agenda selepas itu lebih menarik yakni kunjungan ke Kampung Air Leleh, tempat dimana Hj Abu Bakar Ismail dilahirkan.
Kampung Air Leleh tidaklah sebesar mana dan terletak di pinggir Bandar Melaka yang bersebelahan dengan sawah yang bersambung hingga ke Semabok. Iman sendiri sudah lama tidak kesini setelah beberapa tahun terlepas untuk beraya. Singgah ke rumah Mak Cik Joyah dengan Pak Ron sudah menunggu kedatangan nenek. Masuk sebentar dan Iman keluar ke hadapan surau bertemu rakan sekuliah di UiTM dulu, Syafiq. Syafiq sahabat Iman ini juga sebenarnya adalah saudara kita. Bagaimana kaitannya nanti Iman ceritakan.
Kisah keluarga ini kita mulakan dengan cerita solat maghrib di Surau Madrasah Hj Abdullah, Air Leleh. Terletak betul-betul dihadapan rumah Mak Cik Joyah, surau ini adalah surau ‘waris’ jika mengikut gurauan Pak Lie dengan Mak. Jika mengikut salasilah dan sirahnya, ‘Hj Abdullah’ pada nama surau ini adalah arwah bapa saudara atuk yang juga imam di surau ini dulunya. Lebih dikenali dengan ‘Pak Dolah’ atau digelar ‘Pak Cik Ola’ oleh atuk.
Rumahnya Hj Abdullah terletak bersebelahan surau ini dan kini didiami oleh anak angkatnya yang tidak pasti namanya tapi digelar ‘gendul’. Maka, Hj Abdullah ini mempunyai adik beradik yang dipanggil Pak Ngah Ndin oleh arwah atuk. Ceritanya atuk rapat dengan Tok Ngah Ndin ini dan rumahnya berhadapan dengan rumah arwah nenek Long atau rumah yang Pak Su Razak duduk sekarang. Maka, kisahnya Syafiq sahabat Iman tadi adalah cucu kepada Tok Ngah Ndin. Air dicincang takkan putus dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali!
Cerita Tok Ngah Ndin ini pula dikisahkan mempunyai dua isteri. Anak-anak bersama isteri pertamanya mungkin tidak dikenali tetapi anak dengan isteri keduanya antaranya Norizan, Roslan dan Nomi dikenali oleh Iman.
Maka semasa berjumpa dengan Syafiq, dia membawa iman ke rumah anak Tok Ngah Ndin tadi yang juga pak ciknya, Hj Roslan. Maka ketika berbual diceritakan oleh Syafiq siapa diri ini maka berjabat tangan dengan penuh senyuman!
Orang Melaka memang kecoh dibuatnya dan itu berlaku bila Hj Roslan berteriak kepada keluarganya “ ini dia cucu arwah Pak Bakau adik Tok Itam”. Semua lantas pandang dan bersalaman dengan iman. Bagai sirih pulang ke gagang!
Iman pulang ke rumah Mak Cik Joyah dan selepas maghrib berbual dengan Pak Lie diluar. Bercerita tentang Hj Roslan, Iman sekali lagi ke rumahnya dan kali ini dengan Pak Lie pula. Sampai saja tersenyum lebar Hj Roslan. Berbual dengan Pak Lie dan kemudian bertukar nombor telefon, harapnya salasilah kita akan ditelusuri hari demi hari.
Tiada apa yang mahu dimalukan dalam bersaudara. Walau bagaimanapun persaudaraan itu tetap tidak akan putus walaupun diputuskan kerana hakikatnya yang diatas masih sama dan berakhir dengan satu!